Monday, July 31, 2023

Ruang Untuk Bahagia

 

Kalau diikutkan rentak emosi, memang banyak perkara yang buat kita berkecil hati. Tapi apabila menginsafi rentak takdir Allah, banyak perkara yang menuntut muhasabah. Ujian datang bukan saja-saja dalam hidup kita. Banyak tujuannya.

Apa yang kita tak suka itu juga banyak manafaatnya untuk dunia dan akhirat kita. Kita boleh kutip pahala kalau mampu tabah. Kita boleh hapuskan dosa-dosa kalau kita mampu redha. Malah Allah menjanjikan hikmah di sebalik setiap musibah!

Lalu mengapa kita masih mahu melayan keluh keash? Sudah-sudahlah. Pujuklah hati untuk memaafkan sesiapa pun yang pernah menipu kita, yang memfitnah kita, yang memungkiri janjinya, yang salah faham dan menyimpan prasangka, atau apa juga kesilapan mereka yang melukakan hati kita.

Menyimpan dendam di dalam hati seumpama menyimpan racun di dalam diri. Lepaskan. Keluarkan. Buang dendam dan benci dari hati kita agar ada ruang untuk Allah tempatkan bahagia. Sediakan ruang itu. Bukankah itu yang kita mahu?

Ibnu Mubarak berkata:

"Musibah itu hanya satu, tetapi apabila orang yang terkena musibah itu menyesali, maka musibah itu menjadi dua. Yang pertama adalah musibah itu sendiri dan yang kedua adalah hilangnya pahala musibah itu, padahal itu lebih besar daripada musibah itu sendiri."

Allah tak pandang jari yang bertasbih. Allah cuma pandang hati yang bersih. Bersihkan hati kita. In sya Allah bahagia.

Tuesday, July 25, 2023

Sometimes


Tuhan, 
Kalau memang dunia tak bisa ramah pada kami,
Setidaknya mohon beri ruang pada kami untuk,
Bahagia,
Tertawa,
Tersenyum,
Walau hanya kami saja yang tahu.

Biarlah dunia tahu bahawa kami bahagia dengan cara kami,Hanya sepasang mata saksinya
Kerana jodoh bukan soal sempurnaNamun yang mampu tangguh tuk bertahanDan berjuang saja akan mendapatkannya.

Tak rumit bah Tuhan,
Aku cuma mahu hidupku dapat mengembirakan mereka,
Mereka yang aku sayangi.

Mungkin memang salah kalau berharap hidup akan sempurna,
Aku tahu hidup ini diwarnai berbagai rasa,
Sedih, tertekan, sakit, pedih, tertawa, gembira dan pelbagai rasa.

Sekarang, hidup apa adanya sajalah,
Bisa menjadi alasan orang lain untuk tersenyum saja,
mungkin itu sudah cukup.

Bukan begitu, Tuhan?

Monday, July 24, 2023

Diam

Adakalanya,

Perkataan tak mampu menzahirkan perasaan.

Lalu aku memilih diam.

Thursday, July 20, 2023

Hati Yang Lali


Longlai diri! Serasa lemah sendi-sendi melayankan segala rasa ini. Rindu yang tidak keruan. Rasa cinta yang tertahan-tahan. Semua kewarasan akhirnya berakhir dengan prasangka yang tidak-tidak. Mengapa selalu begitu. Positif bah. Always be positif. Cemburu kerana sayang adalah normal. Namun berpada-padalah wahai hati.

Titis air mata seakan tumpah lagi! Bukan sengaja kulayan. Bukan tak cuba aku melawan. Sungguh, sudah ku bertahan habis-habisan. 

Tapi kadang aku tak kuat, Tuhan! Semua kesakitan ini bagaikan tiada alasan, tiada penawar dan tiada kesudahan. Aku kewalahan dihentak kenangan! 

Tuhan, mengapa sesukar ini menjadi hamba yang redha atas setiap ketentuan-Mu? Aku mahu cuba, aku mahu setuju, selalu! Tetapi selalu juga aku terjelepuk lemah. Sungguh, aku lelah!

Rindu ini membunuh kebahagianku, bukankah engkau melihat itu? Justeru tidakkah engkau kasihan melihat aku?

Tuhan, kalau penderitaan ini satu kafarah dari sejujuk dosa-dosa, ya aku akur. Namun aku mohon, tolonglah sudahi semua ini agar aku juga mampu merafakkan syukur. Sudahi seperti yang aku inginkan.

Tuhan, terima kasih sudah meminjamkan raganya untuk aku hidup. Dari raga ini aku menjadi kuat. Belajar tumbuh jadi manusia dewasa yang katanya, rumitnya setengah gila.

Tuesday, July 18, 2023

Tak Akan Menyerah


Semua orang tidak harus faham sama kita. Dan memang bukan kewajipan orang lain buat mengerti keadaan kita. Jadilah perawat untuk dirimu sendiri. Fahami betul, bagian mana yang luka? Lalu sembuhkan sendiri.

Sulit memang, ketika kita terpaksa untuk hidup dengan ketidaksempurnaan, Tapi cuba ingat lagi tentang makna hidup. Bukankah bisa hidup saja sudah suatu keajaiban?

Sudah, jangan terus menerus mengeluh. Berhentilah menyalahkan Tuhan, dan biarkan semesta yang mengatur keadaan.

Kelmarin, waktu kita berusaha mengatur sendiri, semuanya gagal, dunia malah berantakan. Jadi sekarang giliran Tuhan yang mengatur. Terserah bagaimana baiknya menurutMu saja Tuhan.
Aku Terima.

Dan Tuhan, Terima kasih untuk badan ini, 
Ternyata setangguh ini aku masih bisa berdiri setelah berbagai badai dan sumbernya sudah kulewati.
Meskipun rasanya begitu sakit dan sulit tapi bukan bererti aku menyerah atau pengecut. 
Tuhan.
Aku cuma penat saja.
Mohon dimudahkan saja. Aku mohon. 

Monday, July 17, 2023

Beri Aku Masa


Penyesalan yang singgah di bibir kadangkala hanya sekadar angin. Umur dan peluang yang terbentang di dunia ini tidak kudakap dengan sempurna. Maafkan kami ya Rabb. Mata ini tidak buta, hati ini masih celik. Cuma, iman kami yang cetek. Rebah di lembah noda saat iman dijentik.

Allah tahu aku penat. tetapi aku juga kena ingat, ujian ini tak ada garisan penamat selagi bernyawa. Dan tak ada titik noktah. Saat ia datang, kau tadahlah ibrah. Saat ia pergi, kau raihkan dengan penuh kesyukuran dan jadikan pengajaran. Tapi jangan berlebihan kerana pemergiannya cuma sebentar. Ujian tetap akan datang silih berganti. Suatu ketika, ia akan kembali untuk menguji lagi. 

Bermain Dengan Keadilan Takdir


Kadang kita fikir takdir tidak berlaku adil terhadap kita, padahal sebenarnya, kitalah yang sering tidak berlaku adil berdepan takdir. Pada saat kita mendapat apa yang kita suka, kita gembira. Masya-Allah, baiknya Allah!

Pada saat kita diuji dengan sesuatu ujian yang tidak serasi dengan hati, kita mula menuding jari. Orang ini salah. Orang itu salah. Kita sudah lupa di mana Allah. Kita lupa tentang putaran suka duka yang harus sentiasa ada untuk melengkapi hidup kita. Kita lupa bahawa Allah itu sentiasa baik terhadap setiap hambaNya.

Aku sentiasa bersedia untuk memaafkan bukan kerana pendirianku lemah. Tapi kerana aku takut kalau-kalau di sebalik semua itu, akupun turut bersalah. Soal hati bukan satu hal yang boleh kita pegang secara pasti. Maka aku pilih untuk berhati-hati. Semoga Tuhan sentiasa melembutkan hatiku dan hatimu agar boleh terus bersatu. Aman tanpa seteru.

Allahumma ya Aziz ya Jabbar ya Mutakabbir.


Antara Dendam dan Sayang


Kau mungkin pernah memasuki dalam kehidupan seseorang. Kau cipta pelbagai memori indah hingga dia menjadi orang yang sangat bermakna dalam hidup. Sampai suatu tahap mungkin kau pernah takut akan kehilangannya dan kau tak sanggup untuk melepaskannya. Namun, apabila jalan bahagia yang sedang kau nikmati terputus, rasa suka dan sayang yang telah menumpang di hati itu bertukar menjadi benci dan dendam. Walaupun puas sudah kau cuba buang rasa sayang, ternyata ia masih belum padam!

Wahai diri, dengar! Kau bukan bodoh! Mungkin kau sedikit culas. Tergopoh-gapah dalam menyerahkan hati. Terlanjur dalam meletakkan sayang. Silap kau cuma satu. Kau beri hati pada orang yang salah. Kau tertipu pada layanan baiknya. Kau termakan akan tutur katanya. Tapi itu tidak bermakna kau perlu simpan semua kejahatannya bagi membungakan sebuah dendam! Percayalah dendam tak akan mendatangkan kebahagian, sekadar jadikan kau tidak keruan dan hilang ketenangan.

Biarkan takdir menapak dengan sempurna, biarkan kafarah laksanakan tugasnya, setiap perbuatan pasti ada balasannya. 

Berhenti mengeliru dan mencelarukan hati. Antara dendam dan sayang, kau sendiri tak pasti. Kenyataannya, kau sebenarnya tidak berdendam. Apa yang kau rasa itu sebenarnya yang bernama kecewa, sakit hati, tertipu, teraniaya dan tidak adil.

Sesungguhnya, rasa sayang itu hanya akan tersingkir apabila kau sudah tidak peduli akan kewujudannya lagi. Saat itu, titik hitam yang ditinggalkannya itu, perlahan-lahan terpadam! Pahatkan keyakinan dan kepercayaan bahawa suatu hari nanti, pasti bahagia akan berada dalam genggaman!

Hapuskan semua amarah yang menumpang, Padamkan rasa dendam yang menempel, jangan heret masa lalu ke dalam kehidupan baharumu kerana sedalam mana luka yang terlakar kau berhak untuk bahagia.

Aku dan Takdirku

Aku tidak pernah berniat untuk semua ini. Sungguh melukakan hatimu bagai melukakan diriku sendiri. Terlalu banyak salah faham yang berlaku hingga aku jadi buntu. Tidak tahu bagaimana harus kuterangkan kepadamu. Akhirnya aku memilih diam, menadah semua tohmahan itu kemudian berpasrah pada takdir Tuhanku.

Biarlah. Aku tahu Dia Maha Tahu. Dia tahu di mana semua ini bermula. Saat semuanya baik-baik saja hingga syaitan mencucuk jarumnya. Dia tahu kesilapanku dan dia juga tahu kesilapanmu. Justeru, sekali lagi aku memilih diam pada takdir yang hingga kini tidak mampu kuhadam.

Memang aku tidak sebaik yang mereka kata namun aku juga tidak seburuk yang engkau sangka. Sungguh, saat ini sakit hatiku tumpah pada syaitan yang tertawa. Dan simpatiku melimpah pada kita.
 

Tuesday, July 11, 2023

Tentang Aku


Hidup ini berkisar tentang perjuangan. Maka, kalau kau menolak perjuangan, jangan pula kau mengeluh melihat orang beroleh apa yang kau inginkan. Hakikatnya, untuk bahagia, kau cuma ada dua pilihan saja. Perjuangkan apa yang kau suka atau terpaksalah kau belajar untuk suka saja dengan apa yang kau terima.

Friday, July 7, 2023

Masih Ada Sepotong Bahagia

 

Pagi ini aku seakan sudah penat menghadap dunia. Kadang rasa macam nak lari daripada semua ini. Kusut kepala. Lepas satu masalah datang lagi satu masalah. Pitam. Sedih apabila difikirkan balik! Tidur tak lena dek perut yang tersalah makan kali. 

Jangan mengeluh! Adalah lebih baik kita muhasabah dengan setiap musibah. Sampai bila kita harus bersedih? Bukannya masalah boleh selesai sekelip mata. Sabar! Hidup kena positif! Kita tak tahu apa yang di depan. Fikir yang baik-baik saja.

Begitulah hidup. Apabila diuji, kita rasa seluruh hidup macam dah musnah sedangkan Allah cuma timpahkan satu musibah. Sebenarnya kita duduk atas dunia ini memang tak boleh lari daripada masalah. Kiri kanan ada sahaja musibah yang datang menjengah. Lagipun bukan kita yang minta ia datang.

Salah kah kalau merintih apabila berhadapan dengan ujian?

Tidak! Tak salahpun kalau kita nak mengeluh atau menangis. Yang salah apabila kita duduk terlalu lama dalam kepompong kesedihan! Yang salah apabila bibir asyik mengeluh dan pertikaikan takdir hidup!

Jika yang datang itu masalah kerja, hadapilah dengan bergaya! Fikirkan solusi! Jika tak jumpa jalan keluar, bangunlah solat malam. Ini masanya untuk kita dekatkan diri dengan Allah.

Jika yang datang itu ujian dari pengkhianatan manusia, bangun dan bangkitlah! Jangan lembik wahai hati. Untuk apa terus meratapi kerana kau masih kuat dan kau masih mampu tersenyum lagi.

Jangan kusutkan fikiran dengan satu masalah. Apabila kita asyik fikir dan risau dengan masalah yang menghempap, hati akan jadi resah. Fikiran jadi bercelaru, kerja jadi tak tentu arah. Hasil kerja mungkin tak memuaskan. Apabila berhadapan dengan sesuatu keadaan, tinggalkan sekejap masalah yang datang. Tak perlu campur adukkan fikiran kerana masih ada bahagia yang perlu dinikmati.

Ya Allah, apabila bahagiaku ditarik, senyumanku terkunci daripada dibiarkan terukir 
Aku tahu penamatnya bukan di sini!


Thursday, July 6, 2023

Still The One


Rindu terbuku di dada, nafas serasa sesak tiba-tiba. Ingin berontak! Mahu menjerit, mahu menangis, semuanya bergelodak menyerang serentak. Sakit!

Entah apa yang mahu dikesalkan. Entah siapa yang mahu ku marah. Entah! Rasa kehambaan ini buat aku tunduk akur, ini semua ujianMu, aku tahu! Akulah yang bersalah, akulah yang berdosa. Aku yang membuat keputusan ini. Aku tak boleh salahkan orang lain. Aku bertanggung-jawab sepenuhnya atas keputusan yang aku ambil. Kerana tiada siapa faham aku. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui apa sebenarnya yang aku inginkan. Jadi Ya Rabb hanya padaMu aku berserah.

Tapi cinta dan rindu ini buat aku tegak mahu melawan dan mempertahankan. Di saat Engkau menemukan aku dengan apa yang aku mahu, sungguh jiwa berteriak mahu menikmatinya. Bukankah aku juga berhak bahagia! Kebahagian ku sendiri. Mereka akan tetap aku pertahankan dan tetap aku bahagiakan. Tiada kurang.

Namun, ditekan-tekan untuk tunduk dan diagah-agah untuk bangkit. Entah berapa lama lagi harus kukurungkan perasaan ini. Entah sebesar apa lagi mampu kupujukkan hati, agar terus bertahan merentasi lautan yang gelombang besarnya tiada henti. Entah! Dapatkan aku pastikan piring yang telah retak ini agar tak pecah. Dapatkah aku menjaga semua hati yang aku sayangi. Ya Rabb, bantulah aku. Aku mohon.

Cinta membuak-buak perlu dicurahkan. Rindu memberontak minta dilepaskan. Namun takdirMu mengikat semua bah rasa yang melanda hingga aku terus lemas bersamanya. Seksa!

Cinta dan rindu. Kulihat betapa indahnya mereka menikmati semua rasa-rasa itu. Namun sayangnya bukan seperti itu takdirMu. Yang manis buat mereka, ternyata yang pahit buatku.

Ini ujian buat ku, aku tahu ini. Ini rezeki untuk aku, ini takdir ku, aku redha dan terima dan tak pernah menyalahkan siapapun. Akulah yang salah. Tapi aku mohon, wahai Tuhan. Demi cinta kita yang tiada taranya, kuatkanlah aku sekuat-kuatnya. Bantulah aku melepasi lautan derita cinta manusia!

Wednesday, July 5, 2023

Something Is Missing

 

Aku okey. Aku cuma rindukan dia. Terlalu! 
Saat ini semua tentang dia bergentayangan di minda. Membahagiakan.

Maka kalau itu namanya kebahagiaan, jangan pernah engkau suruh aku lupakan.
Biarlah engkau kata aku gila kerana bahagia dengan bayangan. 
Biarlah engkau kata aku berdosa kerana hidup dalam kenangan. Biar!

Itu kebahagian aku dan aku tidak meributkan orang lain. Aku masih tersenyum baik-baik saja.
Aku masih mampu bangun, mandi, masih boleh makan walau tak ada selera dan masih boleh bekerja.

Cuma satu... aku rindukan dia. Benar-benar rindu. Dan rindu itulah buat aku bahagia walau kadang sakit menusuk di dada. Maka biarkan saja aku begini. Jangan engkau persoalkan apa-apa lagi!

In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)