Thursday, June 15, 2023

Melangkah Dengan Tenang


Tak kisahlah sehebat mana taufan mengganas,
yang penting jangan cepat mengalah,
Apabila sedih, ubat hati dengan istigfar,
Apabila ada masalah, cari jalan keluar,
Selagi ada peluang dan
selagi ada ruang.

Saat sedih kita perlukan lebih waktu untuk bersendirian. Tetapi jangan terlalu ikutkan perasaan. Menangis pun ada hadnya. Sampai masa bangunlah semula. Walau sakit, walau pedih, tetap kena kuatkan diri! Tetap kena kukuhkan semangat!

Hati yang asalnya terluka, jangan ditambah lagi lukanya, hati yang sedia sedih, kenapa dibiarkan tergores?

Cuba belajar untuk senyum. Walaupun senyuman itu penuh kebohongan, sekurangnya kita cuba untuk menjadi lebih baik. Keluarlah dan jangan duduk terperap sendirian. Ambil aura positif daripada orang sekeliling. Apabila melihat orang lain bergembira, kita pun boleh tumpang gembira. Sekurangnya lenyap seketika sedih yang sedang mendakap. Yang suatu saat kita pun akan mendapatkan kehidupan seperti itu. Cuma waktunya belum tiba.

Sedarlah, tiada siapa yang tidak pernah tertekan. Kita juga tak tahu sama ada mereka yang kita lihat sentiasa gembira itu tidak punya kisah duka. Tak perlu seksa perasaan dengan menzahirkan kesedihan. Tak perlu dijaja semua kesedihan kerana tak semua faham akan situasi kita.

Ajarlah diri untuk jadi lebih positif. Apabila keadaan dah terkawal, hati dah tenang, hati akan lebih lapang. Justeru tak ada apa lagi yang perlu kita bimbang. Apa pun yang berlaku di hadapan, serahkan semuanya kepada Allah. Melangkahlah dengan tenang.
In sya Allah!

Tuesday, June 13, 2023

Moving Forward

Kalau engkau takut pada cuaca yang berkabut, kalau engkau keliru pada jalan yang berliku, maka terpakulah engkau terus di situ. Sampai bila-bila, di situ juga. Takkan mampu ke mana-mana.

Bergeraklah. Jalan yang sudah engkau lalui, sudahlah. Cerita duka atau gundah, biarlah. Di hadapan sana pasti ada yang lebih indah.

Untuk apa menoleh ke belakang kalau semuanya telah pun ditinggalkan? Untuk apa tegak berdiri kalau engkau sudah boleh berjalan? Bergeraklah. Teruskan perjalanan meskipun tak pasti apa yang menunggu di hadapan. Teruskan berjalan gaya orang yang punya tawakal dan rasa percaya pada Tuhan.

Sahabatku, biar apa pun cerita mu, hidup mesti diteruskan! Teruslah Melangkah.


 

Monday, June 12, 2023

Ruang Kembali

Ia satu ruang yang cukup sempit. Sesempit dada mahu menghela nafas. Lama dan panjang. Lelah menghirup namun seakan ruangnya tertutup. Ia ruang yang kelam dan hitam. Seperti malam tanpa bulan dan bintang. Jiwa menggetar gigil ketakutan. Namun hidup ini tidak memberi kita banyak pilihan. Hanya perlu diteruskan.

Kerana aku penuh percaya Allah ada, kerana aku tunduk berpasrah pada hakikat inilah perjalanan ku, aku juga tahu manusia itu tidak dapat lari daripada berbuat dosa, dan manusia itu sering tergelincir dari landasan imannya, dan aku manusia, maka akan ku kumpul seluruh serpihan jiwa, cuba menyatukannya semula ke arah yang Engkau redai.

Namun ku mohon padaMu. Mudahkanlah ia...Bagilah jalanmu. Pada mengisi ruang kembali, kucuba atur kepingan yang masih berbaki. Kucuba catur sisa kemampuan hati. Agar esok aku lebih baik dan menjadi hamba yang tahu diri.

Hidup ini harus kuat. Sebesar apapun ujian Tuhan ada dan tidak pernah tinggalkan kita.
 

Selamat Pagi


Hari ini, jangan sekadar membuka mata, tetapi buka juga hati kita. Hari ini ada insan yang telah pergi buat selamanya, tetapi kita masih diberi peluang menghirup udara pagi. Semalam telah mati sementara dan dihidupkan semula pagi ini.

Hari ini Allah masih beri peluang lagi. Maka, berusahalah untuk menghargai peluang ini. Relakan apa-apa yang sepatutnya pergi. Hargai apa-apa yang masih kita miliki. Biar bumi tenang menatang. Biar langit tersenyum memandang.

In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)