Thursday, June 15, 2023

Melangkah Dengan Tenang


Tak kisahlah sehebat mana taufan mengganas,
yang penting jangan cepat mengalah,
Apabila sedih, ubat hati dengan istigfar,
Apabila ada masalah, cari jalan keluar,
Selagi ada peluang dan
selagi ada ruang.

Saat sedih kita perlukan lebih waktu untuk bersendirian. Tetapi jangan terlalu ikutkan perasaan. Menangis pun ada hadnya. Sampai masa bangunlah semula. Walau sakit, walau pedih, tetap kena kuatkan diri! Tetap kena kukuhkan semangat!

Hati yang asalnya terluka, jangan ditambah lagi lukanya, hati yang sedia sedih, kenapa dibiarkan tergores?

Cuba belajar untuk senyum. Walaupun senyuman itu penuh kebohongan, sekurangnya kita cuba untuk menjadi lebih baik. Keluarlah dan jangan duduk terperap sendirian. Ambil aura positif daripada orang sekeliling. Apabila melihat orang lain bergembira, kita pun boleh tumpang gembira. Sekurangnya lenyap seketika sedih yang sedang mendakap. Yang suatu saat kita pun akan mendapatkan kehidupan seperti itu. Cuma waktunya belum tiba.

Sedarlah, tiada siapa yang tidak pernah tertekan. Kita juga tak tahu sama ada mereka yang kita lihat sentiasa gembira itu tidak punya kisah duka. Tak perlu seksa perasaan dengan menzahirkan kesedihan. Tak perlu dijaja semua kesedihan kerana tak semua faham akan situasi kita.

Ajarlah diri untuk jadi lebih positif. Apabila keadaan dah terkawal, hati dah tenang, hati akan lebih lapang. Justeru tak ada apa lagi yang perlu kita bimbang. Apa pun yang berlaku di hadapan, serahkan semuanya kepada Allah. Melangkahlah dengan tenang.
In sya Allah!

No comments:

Post a Comment

Sesuatu Yang Paling Jauh Dari Kita adalah Masa Lalu, Bagaimanapun Kita, Apapun Kendaraan Kita, Kita tetap tidak akan bisa kembali ke masa lalu, Maka jagalah hari ini dan hari - harimu yang akan datang.

In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)