Wednesday, July 27, 2022

Berganding Ke Syurga


Sekalipun aku ditangkap ketika mencuri dan ada yang bertanya padaku hukum mencuri, aku tetap akan beritahu bahawa mencuri haram. Ia berdosa.

Sungguh. Aku akan mengaku salahku. Aku tidak akan menghalalkan dosa itu hanya untuk menutup malu. Justeru, jangan pernah keliru antara hakikat ilmu dan kelemahanku. Ambillah nasihat yang baik-baik kalau ada anda lihat pada diriku. Berilah nasihatmu dengan baik-baik untuk membantuku memperbaiki diriku.

Syurga itu terlalu luas untuk kita. Kita boleh masuk bersama-sama dan saling berbahagia di sana. Perlukah di sini kita saling tolak-menolak untuk ke neraka?

Mari. Kita sama-sama beristighfar memperbaiki diri. Kita sama-sama mengukuhkan ukhuwah ini. Pegang tanganku. Jangan pernah kau lepaskan. Pimpin aku ke syurga kerana aku tidak kuat untuk menempuh jalan ke sana. Terlalu banyak liku-likunya. Kuatkan aku bila aku lemah. Ingatkan aku bila aku terlupa. Sungguh. Aku terlalu mahu kita berganding ke sana.

Aku berharap nanti di syurga, kita bertemu dan saling berteriak gembira. Kita berjaya melepasi ujian ini dengan taubat. Kita berjaya menewaskan syaitan dengan segera menebus kesilapan. Kita pernah jatuh dan terluka tapi kita berjaya mengatasinya.

Kawan... tidakkah impian manisku ini menjadi impianmu juga? 

Monday, July 18, 2022

Kecelaruan


Harus bagaimana aku hadapi semua kecelaruan ini? Serasa mahu kubalingkan semua yang ada di depanku ini. Mahu saja kuterajang almari. Mahu kutendang pintu yang terkunci lalu berteriak sekuat hati. Namun, semuanya terkumpul dan hanya tergumpal di sini, di jiwa ini!

Harus bagaimana aku berdepan hari esok? Harus mengamuk atau biarkan saja rasa ini menjeruk? Atau haruskah aku berdiam saja. Jika aku perempuan, air mata ini sudah berjuraian sekian lama, kalaupun terhenti cuma seketika, kemudian berjuraian lagi bagai putaran hujan kembali ke awan.

Mahu salahkan siapa? Tuhan? Tidak mungkin! Ternyata akal waras ini terus dipacu mengiyakan saja segala takdir itu. Ternyata hari ini aku masih aku yang sama, yang hanya mampu berlari laju-laju, mencampak jiwa kerdil ini sujud ke sejadah lalu terseak untuk kesekian kalinya.

Sungguh rasa itu terus terkurung dan tidak pernah terbebas meski sedayanya aku berhempas-pulas. Sudahnya aku juga yang kehabisan tenaga. Lagi-lagi seperti ini, tertiarap keletihan sendiri-sendiri. Dan esok harus sedia bangkit, berjuang lagi untuk orang-orang yang disayangi.

"Hati-hati dengan apa yang kita minta. Doa minta Allah beri apa yang baik untuk kita. Bukan doa minta apa yang kita fikir baik untuk kita"

Ya Rabb
Ku serahkan padamu takdirku
Kerana aku tahu
Dikau maha mengerti kecelaruan hati ku
Ku mohon

Friday, July 15, 2022

Ruang Kembali


Ia satu ruang yang cukup sempit. Sesempit dada mahu menghela nafas. Lama dan panjang. Lelah menghirup  namun seakan ruangnya tertutup. 
Ia ruang yang kelam dan hitam. Seperti malam tanpa bulan dan bintang. Jiwa menggetar gigil ketakutan. Namun hidup ini tidak memberi pilihan, Hanya perlu diteruskan.

Kerana aku penuh percaya Allah ada, kerana aku tunduk berpasrah pada hakikat manusia itu tidak dapat lari daripada berbuat dosa dan manusia itu sering tergelincir dari landasan imannya dan aku manusia, maka ku kumpul seluruh serpihan jiwa cuba menyatukannya semula.

Pada mengisi ruang kembali, kucuba atur kepingan yang masih berbaki. Kucuba catur sisa kemampuan hati. Agar esok aku lebih baik. Menjadi hamba yang tahu diri.

Ketika aku rasa lemah, pasti datang bantuan Allah.
Kadang seseorang.
Kadang sesuatu.
Aku hanya perlu buka hati untuk menikmati dan menyedari semua itu.

Wednesday, July 13, 2022

Membuat Pilihan


 "Berjalan penuh yakin seorang diri itu lebih baik daripada berjalan beramai-ramai tapi tanpa hati. Jangan jadi macam lalang. Ditiup ke kanan, maka ke kanan. Jangan! Hidup biar ada prinsip."

Kata bunda, kita tidak perlu ada semua perkara untuk bahagia. Saya cukup terkesan dengan kata-kata ini dan asyik terfikir mengenainya. Betulkah apa yang sedang aku buat sekarang? 

Allah ya Allah. Ia bukan satu dilema rasa yang kecil. Ramai yang berperang dengan diri sendiri sebenarnya. Namun suka atau tidak mereka terus bergelut antara tuntutan dunia dan tuntutan akhirat. 

Benarlah setiap yang berlaku ada harganya. Hatta untuk mendapatkan secangkir kopipun, kita dengan rela hati melepaskan sejumlah wang dikantung. Ia bermula dengan tuntutan membuat pilihan. Bersetuju dengan satu pilihan, maka satu pilihan perlu dilepaskan. Itulah konsep kos melepaskan. Ada yang perlu berkorban dan terkorban.

Aku berkrisis dengan diriku. Antara apa yang aku mahu. Dan apa yang aku perlu. Sukar kutemu titik tengah itu. Antara apa yang melonjak di jiwa. Dengan apa yang seharusnya. Jiwa kerap berlagu derita. Hati sering beralun kecewa.

Sungguh. Tidak mudah memilih lorekan putih. Di saat hitam itu terimbau lebih. Namun aku sudah letih menolak dan memberontak. Tidak mampu lagi berkata tidak. 

Lalu, pada garisan sebegini akhir, hanya satu yang aku fikir,
"Berdamai dengan takdir."

Wednesday, July 6, 2022

Taubat


"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." (Al-Asr:1-3)

Manusia sentiasa dalam keadaan rugi kecuali mereka yang beriman, mengerjakan amal soleh, saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran.

Taubat merupakan salah satu amal soleh dan ibadat. Maka amat rugilah mereka yang melalaikan taubat mereka. 

Ya Allah mohon terima la Taubat ku kerana aku adakalanya tergelincir dan melanggar larangan mu walau perintahmu tetap ku laksanakan. Mohon ada Taubat ku diterima sebelum ajal menjemputku.

"Khabarkanlah kepada hamba-hambaku, bahawa sesungguhnya akulah yang maha pengampun lagi maha penyayang. Dan bahawa sesungguhnya azabku adalah azab yang sangat pedih"

Mohon bantu aku Ya Allah

Solusimu adalah yang terbaik.

Aku Mohon.


In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)