Tuesday, April 25, 2023

Just 6 Month


Lebaran ini berjumpa dengan pakde ku dari Brunei. Agak lama tak berjumpa dengannya sejak sebelum C19 melanda dunia. Dia agak terkejut dengan aku. Katanya mengapa semakin muda dan tidak dimamah usia.
Aku kemudian bercerita kisah ku bermula akhir 2015 dek kerana persediaan menjadi Pengetua sekolah. Aku memang menyimpan untuk transformasi diri dan terbaca satu artikel yang membuat aku ketagih kepada tabiat ini. 

Pertama katanya bangun seawal 5 pagi.

Bangun awal pagi maksudnya kita sudah berada di hadapan semua orang. Bangun awal beri kita lebih banyak masa untuk bersujud kepadanya, work out, merancang hari kita dan menjadikan kita lebih produktif. Ini adalah hack hidup yang besar dan beri kita lebih masa untuk capai matlamat kita. Syukurlah kerana ini sudah menjadi kebiasaan ku sejak kecil hasil didikan Bunda Hajah.

Kedua, merancang aktiviti sebelum tidur.

Rancanglah apa-apa sebelum tidur aktiviti yang akan kita buat untuk esok. Tabiat yang tanpa kita sedari akan memperbaiki kualiti tidur kita. Aku mula terbiasa tidur sebelum jam 10 malam kerana ingin bangun lebih awal setiap hari. Jangan lupa mensyukuri hari-hari anda dan buanglah hal-hal  negatif yang berlaku pada hari tersebut dengan memikirkan hal positif.

Ketiga, sentiasa memotivasi diri dengan menganggap setiap hari adalah pembelajaran.
Belajarlah sesuatu yang baharu setiap hari daripada sesiapapun walau daripada pekerja pembersihan, pemandu dan siapa sahaja selagi ianya bersifat positif untuk mu. Sentiasa juga memberikan yang terbaik untuk profesi mu dan diri mu.

Keempat, luangkan masa sekurang-kurangnya sejam untuk bersenam.
Untuk mencapai kesihatan mental yang baik, kita juga perlukan kesihatan fizikal yang baik. Pemimpin yang baik hendaklah mempunyai fizikal yang menarik dan sihat juga. Oleh itu aku memilih hiking, berlari, berenang dan berbasikal kadang ke GYM mengangkat berat sebagai aktiviti rutin ku.

Kelima, bagi masamu duduk bersama sang Pencipta, senyap sekurang-kurangnya 5 minit sehari. Maksudnya 5 minit setiap sesi sesuai dengan tuntunan agama. Duduk antara dua sujud, Amalkan mindfulness, beri peluang otak kita berehat dengan tidak memikirkan sebarang masalah.
Ini adalah tabiat yang sangat underated untuk kesihatan mental kita.

Keenam, jadualkan waktu tidur yang tetap dan betul.
Tidur adalah sangat penting untuk prestasi kita sepanjang hari, kesihatan mental, mengurangkan stress, memperbaiki mood kita.

Ketujuh, ambil masa untuk berjalan 30 minit dalam alam semulajadi. Biasanya selepas saya berlari saya akan berjalan. Alam semulajadi terbukti membantu mengurangkan anxiety, meningkatkan rasa gembira bahagia juga meningkatkan mood kita. 

Terakhir kekalkan hidrasi badan dengan kerap meminum air putih. Air sangat penting untuk minda, kesihatan dan penyembuhan diri kita. Jadi ambil 1 liter air dengan setiap hidangan.

Perkara inilah yang saya lakukan hingga kini dan sudah menjadi rutin malah tabiat. 

Lucunya terlopong pakde Brunei mendengar cerita ku. Ndalah pakde mampu bilangnya. Berlari pun sudah nda mampu bilangnya. Aku bagitau berjalan la dulu kerana aku dulu pun bermula dengan berjalan juga berlari sedikit berjalan banyak dan akhirnya lebih banyak berlari daripada berjalan. 

Tuesday, April 18, 2023

Duri Yang Tertinggal

Apabila orang hadir dalam kehidupan kita cuma untuk meninggalkan luka, tak mudah sebenarnya untuk memaafkan dan melupakan.

Tambahan pula orang yang sakitkan hati kita adalah orang yang paling rapat dengan kita. Gelas apabila pecah menjadi kepingan kecil dan apabila kita cuba cantumkan kepingan itu, ianya tidak lagi menjadi gelas yang sempurna. Bekas retakan gelas itu akan tetap kelihatan.

Percayalah, hanya orang yang hebat dapat memaafkan kesalahan orang lain. Kadangkala Allah sengaja menguji kita dengan sahabat sendiri untuk melihat tahap kesabaran kita. Maka bersabarlah!

Allah suka akan hambaNya yang bersabar. Allah nak bagi pahala kepada kita saat kita memaafkannya dan melupakan kesilapannya.

Justeru, senyumlah. Setiap manusia yang datang dalam hidup kita membawa pesan tersendiri. Terpulang pada kita, bagaimana menyambut pesanan itu.

Teruslah bersujud pada Pemilik bumi.

 

Monday, April 17, 2023

Misteri Takdir


Kita diajarkan Rukun Iman.
Percaya kepada Allah, malaikat, Rasul, Kitab dan hari Kiamat.
Namun, apabila tiba kepada percaya pada qada dan qadar,
ramai dalam kalangan umat Islam imannya tersasar.
Mereka sukar menerima ketentuan Allah apabila takdir yang menimpa mereka sangat berat.

Setiap takdir hidup kita, walaupun sekecil-kecil perkara, sebenarnya
telah ditentukan oleh Ilahi. 
Ia umpama satu misteri, yang mesti dihadapi oleh manusia selagi belum mati.
Namun, apabila Allah uji dengan sesuatu ujian,
ramai dalam kalangan kita yang tewas.

Apabila ajal seseorang tiba, kita tidak boleh menghalangnya. 
Kematian boleh saja datang daripada pelbagai cara.
Rezeki pun begitu, rezeki tak pernah salah alamat,
jika ditakdirkan untuk kita maka ianya akan sampai kepada kita pun dengan pelbagai cara.
Begitu juga jodoh. Ikan dilaut asam di darat akhirnya bertemu juga.

Begitulah kehidupan.
Kita tidak dapat lari daripada takdir hidup yang telah termaktub.
Tiba masa, Allah berkata kun fayakun, ia pasti berlaku.
Apabila tiba ajal, tidak akan terlambat walaupun sesaat.
Ia berlaku pada waktu yang tepat.
Sampai masa, terpisahlah roh daripada jasad.

Maut adalah rahsia Allah Yang Maha Kuasa.
Jika kita semua sedar akan hakikat ini, tiada lagi perasaan marah dan benci.
Manusia,
ketika ada di sisi, tidak dihargai.
Apabila si dia telah pergi, mulalah merindui.

Entah

Tuhan,
mahu kularikan ke mana bebanan ini?
Perlu kulambung ke langit atau perlukah kuhujamkan saja biar terbenam ke dasar bumi?
Wajahnya terlalu memenuhi segenap ruang minda,
merajai hati dan jiwa hingga tidak mampu kukira entah berapa kali mata ini tanpa sedar,
berkaca-kaca kemudian menumpahkan aliran deritanya!

Tersengguk merintih sendiri-sendiri itu biasa.
Bibir mengukir senyum saat berkeliling manusia juga sentiasa aku mencuba.
Namun Engkau Maha Tahu di sebalik senyuman itu ada derita yang tersembunyi. 
Rasa itu terlalu menghenyak, hingga seringkali aku harus berlari meninggalkan khalayak,
kemudian merintih lagi sendiri-sendiri.

Tuhan 
Mengapa sesukar ini menjadi hamba yang redha atas setiap ketentuanMu?
Aku mahu cuba, aku mahu setuju, selalu!
Tapi selalu juga aku terjelepuk lemah.

Tuhan, kalau derita ini satu kafarah dari sejujuk dosa-dosa,
ya aku akur.
Namun aku mohon, tolonglah sudahi semua ini agar aku mampu merafakan syukur.
Bantulah aku.

Sunday, April 16, 2023

Aku dan Engkau (Selamanya)


Andai itu takdir ku, aku lebih rela hidup sendiri di hutan, tanpa menyusahkan orang-orang yang aku sayangi.

Tidak mahu membebankan mereka. Aku tahu Engkau pasti akan bersama ku. Hanya Engkau ya Rabb!

Ku ikhlaskan semua perjuangan ku untuk mereka. Ku ikhlaskan jerih payah ku untuk mereka. Kerana itulah Amanah yang telah Kau titipkan untuk ku. Aku jaga mereka sebaik mungkin kerana Mu dan kerana aku sayangkan mereka. Mereka yang telah hadir dalam hidupku. Memberikan kesenangan kepada ku. Kadang membuat aku tersenyum bahagia. Kadang mendatangkan amarah ku. Amarah yang disebabkan sayangku pada mereka. Hanya kerana itu.

Aku tahu mereka hanya perlu kan ku, kasih sayang ku dan semuanya untuk pastikan apa yang mereka mahu terpenuhi. Aku juga sedar yang aku tidak boleh membuat setitispun salah. Tapi Akukan cuma manusia biasa dan aku bukannya Nabi atau pun malaikat.

Jika mereka boleh berbuat salah. Kenapa tidak aku. Jika aku boleh memaafkan. Kenapa tidak mereka.

Kadang jujur itu pahit. Kadang jujur itu tidak perlu. Kerana kejujuran itu menyakitkan. Kerana kejujuran itu akhirnya menimbulkan syak wasangka baharu. Apakah perlu kebohongan jika kejujuran itu cuma perlu dimengerti. Dimengerti dengan kepercayaan. 

Benarlah kata pujangga " Akibat nila setitik rosaklah susu sebelanga". 

Dan akhirnya.

Aku juga sedar bahawa tiada siapa yang memahami aku. Tidak akan.

Hanya Engkau ya Rabbi. Hanya Engkau.

Aku berusaha untuk membuat yang terbaik untuk orang-orang yang aku sayangi. Sekalipun tahu satu hari nanti apabila aku bukan siapa-siapa aku akan ditelantarkan. 

Aku sudah siap untuk mereput sendirian di dalam hutan. Mereput di tanah yang menjadi asal ku. 

Dan kalau itu yang terjadi

Biarlah dalam keadaan aku bersujud kepadaMu.


Thursday, April 13, 2023

Allah Yang Satu


Terkadang aku mahu semua orang memahami siapa aku, apa yang aku lalui, apa yang aku jalani, jika boleh aku mahu mereka semua mengerti.

Hinggalah satu hari aku terbaca kata-kata ini, "jika anda ingin mengubah dunia, ubahlah diri anda terlebih dahulu". Dari sana baru aku mengerti bahawa sekuat apapun kita, sebesar apapun kuasa yang kita ada, kita tidak bakalan dapat mengubah manusia. Apalagi meminta mereka untuk memahami kita. Tidak akan.

Aku telah berhadapan dengan pelbagai keadaan adakalanya aku ingin mengalah. Namun dek kerana ada AmanahNya dibahu ku maka aku beradaptasi dalam semua keadaan kerana aku tahu bahawa aku tidak boleh mengubah mereka. Jadi untuk tidak memeningkan aku, akulah yang harus berubah. Dan aku serahkan padaMu ya Allah. Hasilnya seperti apa yang aku perolehi hari ini. Engkau selalu memudahkan aku.

Ku syukuri nikmatmu Allah. Aku sedar aku banyak berbuat salah. Aku sedar aku lemah

Aku perlukan Mu. Hanya Engkau Ya Rabbi. Makanya aku tidak malu tetap bersujud padaMu. Seikhlasku. Walau terkadang hati menerawang mengingat nikmatnya dunia. Namun aku tahu aku sayang padaMu sebagaimana aku tahu Engkau menyayangi aku. Hambamu.

Aku juga sedar semua yang aku ada hanya pinjaman semata. Aku sedar Engkau boleh mengambilnya daripadaku bila-bila masa. 

Yang aku ada cuma Engkau.

Ya Rabbi hanya Engkau tempatku mengadu.

Hanya Engkau yang tahu isi hati ku.

Dan aku tahu Engkau juga tahu yang aku mahu itu dan ini.

Ya Allah...

Hanya padamu aku berserah.

 

Wednesday, April 12, 2023

Aku Hanya Hamba

Sampai satu ketika, aku sangat kelelahan. Penat sangat. Penat nak urus situasi. Penat nak urus hati sendiri.

Terkadang aku buntu, Tak tahu nak buat macam mana lagi.

Titik pasrah. Saat itu, aku hanya mampu berkata, "Ujian yang satu ini bukan aku yang mampu uruskan. Tapi Tuhan.'

Hakikatnya, setiap urusan kita memang Dia yang kawal. Hati kita pun!

Maka, saat berdepan dengan sesuatu ujian atau persoalan yang tak mampu kita selesaikan, seharusnya kita insafi bahawa setiap inci kejayaan yang pernah kita cipta bukan kerana hebatnya kita. Tapi kerana Dia. 

Justeru ujian yang besar itu bukan bala. Tapi itulah yang buat kita sedar, betapa lemahnya kita, sebagai hamba!

Dan hari ini aku serahkan takdir ku padaMu.

Jika ianya baik untuk ku maka akan ku pikul tanggungjawab itu.

Tetapi jika ianyanya tidak baik untuk ku maka Dia maha tahu dan aku sedar ianya bukan takdir ku.

PadaMu aku berserah.


 

Wednesday, April 5, 2023

Puasa Hati

Seperti Puasa. Aku memulainya dengan niat dan menempuhnya dengan tekad. Kutinggalkan semua makanan yang aku suka, kutahankan saja lapar dan dahaga. Aku mampu saja makan dan minum sesuka hati, tapi kupilih tidak!
Aku memilih untuk akur pada satu perintah yang bernilai ibadah. KataNya, jangan! Dan aku akur untuk tidak melanggar larangan.
Demikian aku saat mahu mencuba sesuatu yang lainnya. Meninggalkan sesuatu yang aku suka. Aku cuba sedaya upaya atas dasar menghormati bulan penuh rahmat. Bulan keampunan.
Tidak mudah! 
Tapi jika aku mampu berpuasa menahan lapar dan dahaga, menahan kantuk untuk berdiri dan sujud padaMu. Mengapa tidak kucuba yang ini juga?
Hidup ini paksinya perjuangan. Biar hati terus lelah bertarung mujahadah, biar jiwa hiba mengusap air mata rindu, Sungguh....adakah aku dapat bertahan.

Tuesday, April 4, 2023

Bahagia Seorang Aku


Aku seringkali bergelut derita setiap kali kesejukan, tapi tetap...
aku sangat mencintai hujan.

Melihatnya aku hanyut dalam ilusi yang membahagiakan.
Dalam dinginnya aku nyaman.
Mendengarnya aku beroleh terapi yang cukup menenangkan hati.
Nikmat sekali.

Demikian ujian.
Betapa aku seringkali derita setiap kali harus bergelut dengannya.
Tapi tetap...
aku sangat mencintai ujian.
Mengharunginya buat aku semakin dekat dengan sejadah dan
semakin kuat mahu berpaut pada Allah.
Menyudahi ujian buat aku tersenyum indah menadah hikmah demi hikmah.

Bagi la, permudahkan lah jika ianya baik bukan saja untuk ku
tapi untuk kami semua.
Kerana Hanya Engkau saja yang tahu.
Aku Mohon.

Kerana Mereka Belum Mengerti


Manalah mereka tahu susah payah aku, doa tulus aku, kerisauan aku, kasih sayang aku bila yang mereka tahu cuma apa yang mereka mahu. 

Iya bukan salah mereka.
Kerana mereka tidak duduk di tempatku.
Mereka bukannya nampak jerih perih aku meraih apa yang kugapai hari ini.
Mereka bukannya mendengar rintih tulus aku. 
Mereka tidak tahu itu semua.
Mereka tidak tahu erti pengorbanan yang aku titipkan kerana yang mereka tahu hanya menghentak semua harapan jatuh berderaian!

Maka tak mengapalah. Aku maafkan saja kerena mereka belum mengerti semuanya.
Aku redhakan saja setiap titis peluhku yang tumpah.
Aku halalkan saja setiap titik keringatku yang diperah.

Namun aku mohon, ya Allah.
Engkau ampunkan mereka kerana sungguh, 
aku tahu mereka belum mengerti semuanya.

In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)