Friday, September 30, 2022

Semoga Berguna

 



Andai Allah di hati kita, tidak akan pernah wujud perkara yang sia-sia. Kesenangan membuahkan kesyukuran. Kesukaran membungakan ketabahan. Amalan baik menghimpunkan pahala. Malah rasa berdosa juga mampu mendekatkan kita kepadaNya. Justeru, bersyukurlah untuk semua yang berlaku. In sya Allah, Tenang hati kita selalu.

Jumaat Barokah

Tuesday, September 27, 2022

Asyik-asyik Aku!


Mana mungkin ada laut yang sentiasa tenang. Pasti sahaja dipukul gelombang. Pasti sesekali taufan bertandang. Mana mungkin ada jiwa yang sentiasa disenangi. Pasti sahaja ada yang membenci. Pasti sesekali ditohmah iri.

Justeru, andai ada tingkahlaku yang tidak kena, menyakitkan pandangan dan hati sesiapa, tidak mengapa. Aku lebih tahu siapa aku, susah payahku, kemelut hatiku, titik tumpu hidupku. Lalu, apa yang mahu difikir tentang aku, terserah kamu.

Sunday, September 25, 2022

On The Run


 "Jika kamu berada di petang hari, jangan tunggu pagi hari. Dan jika kamu berada di pagi hari, jangan tunggu petang hari. Gunakanlah kesihatanmu untuk persiapan saat sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu." (Hadis riwayat Bukhari)

Tadi di Airport ramai yang bertanya saya bagaimana saya masih boleh berlari, menaiki basikal dan kegiatan lainnya dalam keadaan begitu banyak komitmen lain. 

Jujurnya saya tidak pernah rasa saya berjaya menggalas kesemua tanggungjawab ini dengan baik dan tidak pernah berasa puas hati dengan prestasi sendiri. Namun, itu secara umumnya. Secara khusus, bolehlah dikatakan bahawa kadang saya berjaya dalam misi tertentu dan kadang gagal dalam misi yang lain. Yang pasti saya gunakan semua kesempatan yang ada dan saya usahakan ada masa untuk saya sendiri.

Salah satu asbab sebab yang menjadi penentunya ialah aspek pengurusan masa. Ketika saya berjaya mengikut pesanan Baginda Rasulullah agar tidak bertangguh, maka saya akan berjaya. Kalau saya bersikap sambelewa dan menangguh-nangguh kerja, saya terpaksa menanggung akibatnya. Mungkin saya tetap akan berjaya, tapi dalam keadaan kelam kabut bagai nak terputus nyawa atau mungkin juga gagal total!.

Bertangguh adalah pembunuh pembangunan diri dan kejayaan peribadi. Sikap suka bertangguh adalah musuh kepada orang yang berjaya. Kalau nak menjadi lebih baik, kita perlu berjuang untuk membuang sikap ini. Allah sudah bekalkan 24 jam sehari. Pandai-pandailah mengatur diri. Ayuh, berusaha!

Tuesday, September 20, 2022

Yakin Pada Pilihan Allah


Dear Aku,

Allah tak beri apa yang kau minta sebab tak mahu kau terluka. Usah merintih soal takdir. Usah bersedih tentang hal yang tak mampu kau fikir.

Bimbang. Sentiasa!

Demikianlah manusia yang Allah cipta dengan fitrah cenderung kepada berkeluh-kesah. Normal. Namun, fitrah ini bukanlah satu hal yang tidak boleh dikawal. Kita perlu percaya kepada aturan Allah. Perlu mencari apakah panduan-panduan yang pernah digariskan oleh Rasulullah.

Hanya ada satu cara. Bawa hati kita kepada Allah dan belajarlah untuk redha. Redha itu bukan sekadar perlu untuk sesuatu yang kita sudah tahu. Ia juga boleh dilakukan untuk sesuatu yang masih misteri. Bukankah itu rukun iman yang keenam. Ia sesuatu yang wajib kita imani. Percaya kepada qada dan qadar.

Semua perkara berkaitan jodoh, rezeki, amal, dan ajal telah ditentukan semasa kita berada di dalam kandungan ibu lagi. Maka tidak seharusnya tidak ada yang perlu dibimbangkan lagi kerana apa yang bakal terjadi telah pun pasti. Percaya saja kepada ketentuan Allah!

Demikian juga takdir yang ditetapkan ke atas kita. Semuanya teratur dan kita percaya bahawa apapun yang berlaku itulah yang sebaik-baiknya. Matahari tidak akan muncul di tengah malam biar sehebat manapun kita berdoa dan merayu-rayu kepada Allah untuk melihatnya. Ia hanya akan muncul sesudah subuh. Ya. Kita terpaksa menunggu. Tiada pilihan lain.

Nah. Hakikatnya.
Begitu juga dengan takdir hidup kita. Kita tidak boleh memaksa sesuatu berlaku sebelum masanya. Bertenanglah. Jangan terburu-buru. Dengan keyakinan bahawa semua perkara telah ditetapkan dan Allah maha baik dalam setiap perencanaan. 

Maka Tunggu!
Selain doa dan ikhtiar, ada sesuatu yang lebih diperlukan.
Sabar.

Thursday, September 8, 2022

Kuasa Istiqarah


Hidup ini adalah medan ujian. Hari ini dan esok belum tentu kita atau mereka masih orang yang sama lagi. Kita memang boleh saja merancang itu dan ini tetapi keputusan akhirnya adalah di bawah kawalan Allah. Hak mutlak Allah.

Justeru, jangan pernah mengadili sesiapa. Kita tidak berada dalam situasinya. Awasi apa sahaja bisikan yang terbit dalam hati kita kerana andai dizahirkan maka ia sudah bernilai dosa atau pahala. Malulah kepada Allah kerana gagal menyandang amanah. 

Ingatlah bagi seorang Muslim, masa hadapannya adalah akhirat. Itulah misi nombor satu kita. Kita mahu berkumpul bersama semua orang yang kita sayang di syurga sana. 

Betul. Visi utamanya - Syurga. 

Kita perlu berebut-rebut mahu ke sana tetapi untunglah kerana kita tidak perlu berebut-rebut dengan sesiapa. Masing-masing cuma perlu berusaha melepasi jalan hidupnya sahaja. Tidak perlu dengki, iri hati dan menyalahkan orang lain. Syurga Allah itu luas dan kita semua muat untuk berada di sana. Cuma kita perlukan hanya Rahmat Allah. Allah tahu hati kita, Allah maha tahu kita lemah. Tapi janganlah sampai berkali-kali menduakanNya...mendustai laranganNya. Apalagi sudah ditegur dan diingatkan berkali-kali. 

Andai kita berjaya berkumpul bersama semua orang kesayangan kita di sana, maka itulah baru dipanggil kejayaan yang sebenarnya! Namun sebelum dari itu, jangan terlalu berasa kecewa dan jangan pula terlalu mudah berasa selesa. Berpada-pada.

Ya Allah, ampunkan aku... 
Aku perlukan rahmatmu
Seperti Kau mudahkan urusan ku di dunia
Kau uji aku dengan segalanya 
dan akhirnya aku menyadari
yang aku perlukan adalah rahmatMu

Allah 
Aku mahu rahmatMu sebelum ku menutup mata.

Tuesday, September 6, 2022

Mencari Jalan Pulang


Wahai Yang Maha Tahu segala khilafku,

Yang mengetahui jatuh bangunku mengendalikan nafsu,

juga Yang Maha Mengasihani untuk mengampuniku,

ini aku, hamba-Mu datang merayu,

Apa-apa sahaja yang membuatMu murka,

Pisahkanlah aku daripadanya jika itu yang terbaik untuk ku dan untuknya,

Apa-apa sahaja yang membuatMu cemburu,

Ambillah ia daripadaku,

Agar ibadahku, hidup dan matiku,

Hanya untukMu.


Ya Allah, terima kasih ya Allah. Boleh saja kalau aku tidak solat pada ketika ini.

Tapi Engkau paksa juga aku dengan rasa bersalah ini. Saat ini aku benar-benar merasai kasih sayangMu

 Ya Allah.

Aku tahu ini adalah hidayah.

Rasa takut inilah hidayah.


In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)