Friday, October 28, 2022

Kewalahan


Akan ada fasa dimana kamu lelah dengan semuanya

Memilih mengalah dan tidak meminta siapapun untuk memahami keadaanmu lagi.

Membiarkan kehidupanmu berjalan dengan sendirinya, tanpa banyak bicara tanpa banyak kata.

Hanya tindakan yang akan membuat setiap orang melihatmu berfikir bahawa kamu bahagia dan baik-baik saja.

Hingga pada akhirnya kamu akan mengerti, bahawa itulah cara Allah untuk mengingatkanmu, bahawa hidup adalah hanya tentang hati yang ikhlas.

Allah...

Yang aku inginkan sekarang ini hanya Kamu.

Bawalah aku ke jalan mu ya Allah.

itu saja.

Tuesday, October 25, 2022

Secebis Hidayah


Hidayah itu perlu dicari bukan dinanti,

Maghfirah itu perlu diburu bukan ditunggu,

Kerana kematian tidak pernah berikan salam untuk hadir sebagai tamu.

Dua kejadian yang berlaku menyedarkan aku bahawa kematian akan hadir seperti dijanjikan 8 dan 11 tahun kalau sudah tiba masanya akan dijemput tanpa lewat walau sedetik. Ditimpa tembok batu dan tiang gol hanyalah asbab. Kita entah kapan dan bila. Hanya Dia yang tahu.

Ya Allah.

Darjatku hanya seorang hamba. Tapi lagakku persis raja di singgahsana. Aku jalan mendabik dada, seperti dunia aku punya. Dosa noda aku kumpul tidak berhenti, seperti aku tidak takut akan namanya mati sedangkan Malaikat Izrail sering memerhatiku setiap hari. Sehingga ujian yang singgah buat aku terduduk dan aku sedar yang selama ini aku sudah tersasar jauh.

Tuhan ku, terima kasih atas ujian yang membuatkan aku belajar hakikat kehidupan. Terima Kasih atas sakit semalam yang membuatkan hari ini aku mampu untuk bangkit. Terima kasih kerana hantarkan luka, Kau juga penyembuh hati yang lara. Tanpa rahmatMu, aku tiada apa-apa dan aku bukan siapa-siapa. Tanpa magfirahMu, aku cuma insan hina dan tanpa hidayahMu aku akan terus leka. Terima Kasih ya Allah. Aku sedar, kau menguji bukan tanda Kau benci. Malah Kau tidak mahu diri ini terus tersasar dengan permainan dunia.

Sungguh, cahaya yang aku miliki hari ini lebih terang menerangi perjalanan panjangku selepas ini. Moga cahaya ini terus bersinar dalam hati sehingga jasad ini kembali pulang bertemu Ilahi. Cahaya hidayah yang selama ini aku cari. Andai aku tersungkur lagi, aku tahu pada siapa aku harus berpaut selepas ini.


Thursday, October 13, 2022


Pesawat mendarat di Sandakan. Kejutan apabila dijemput sahabat semasa bertugas di Batu Sapi. Aku dilarikan terus dijamu sarapan pagi kemudian di bawa berjumpa rakan-rakan yang masih bertugas di sana. Kekangan tugas memaksa aku bergegas semula ke tujuan asal menghadiri mesyuarat dan kami merancang untuk berjumpa lagi sebelah malam dalam skala yang besar. 

Namun ketentuan Allah itu lain pula. Menerima khabar yang memerlukan aku bergegas kembali ke Kota Kinabalu. Dengan izin Allah juga aku dapat juga penerbangan akhir ke KK walau terpaksa membeli semula tiket penerbangan. Sebaik mendarat kami terus bergegas ke lokasi kejadian walau hujan lebat. 

Awalnya kedua ibu dan Ayah mangsa enggan berjumpa kami. Saya faham situasi tersebut manakan tidak anak yang paginya bersama kita dalam keadaan ceria dan kini telah dipanggil olehNya dalam sekelip mata.

Saya yakin ALLAH akan mengetuk hati mereka untuk berjumpa saya. Dan tekaan saya tepat ketika ingin pamitan Ayah mangsa berjumpa saya dan mula berbicara dengan saya. Saya hanya mendengar dan menenangkannya. Perbualan diakhiri dengan adanya satu ikatan persaudaraan. Syukurlah Allah maha tahu mana yang terbaik untuk kita jika ikhlas. 

Mengenali seseorang adakala ia membuatkan kita gembira dan bahagia. Mengenali seseorang juga adakala buatkan kita menitiskan air mata. Ikhlaskan tiap pertemuan dan perpisahan yang telah ditakdirkan.

Kerana itu semua cuma pinjaman. Kadang, kita perlu lepaskan apa yang kita sayang, Perlu korbankan apa yang kita perjuangkan. Kerana apa? Ya...itu semua sekadar pinjaman dan itu semua bukan milik kita.

Aturan alam, sifatnya berpasangan. Kanan Kiri, lelaki perempuan, langit bumi, hidup mati.

Maka begitulah diturutkan juga bilamana kamu ikhlas akan sebuah pertemuan bererti kamu juga perlu bersedia dengan sebuah perpisahan. Perpisahan, pasti terjadi. Sama ada ditinggal pergi atau sekujur jasad bertemu ilahi. Sama ada cepat atau lambat, tetap akan terjadi.

Kita ditakdirkan untuk berkenalan dengan seseorang kerana Allah. Ditakdirkan untuk bersahabat juga kerana Allah. Dan ditakdirkan untuk bersama juga atas izin Allah. Andai suatu hari nanti, ditakdirkan untuk berpisah dan pergi jauh, jangan kita lupa, itu juga kerana Allah.

Ingatlah kehidupan hakiki kita adalah di alam sana. Mari kita bersama-sama ke sana.

Tuesday, October 4, 2022

Hanya Tuhan Yang Tahu


Diam bukan bererti tidak peduli. Hanya menyimpan rahsia hati dan luahkan pada yang layak mengerti. Ya, pada ilahi. Diberikan ruang dan peluang melihatmu dari kejauhan, meski penuh dengan keterbatasan. Cukup buat diri ini terasa nyaman.

Meski aku tidak dapat memperjuangkanmu seperti mereka. Ada bersamamu tiap masa. Namun, aku punya cara aku tersendiri bagaimana aku memperjuangkanmu.

Cukup hanya Tuhan yang tahu bagaimana caranya. Selagi ada ruang dan waktu masih banyak hal perlu diperbaiki, menjadi umat terbaik dari sehari ke sehari. Jadi biarlah aku ceritakan, rasa ini hadir dan kuikhlaskan ia singgah juga atas izin Allah.

In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)