Tuesday, October 25, 2022

Secebis Hidayah


Hidayah itu perlu dicari bukan dinanti,

Maghfirah itu perlu diburu bukan ditunggu,

Kerana kematian tidak pernah berikan salam untuk hadir sebagai tamu.

Dua kejadian yang berlaku menyedarkan aku bahawa kematian akan hadir seperti dijanjikan 8 dan 11 tahun kalau sudah tiba masanya akan dijemput tanpa lewat walau sedetik. Ditimpa tembok batu dan tiang gol hanyalah asbab. Kita entah kapan dan bila. Hanya Dia yang tahu.

Ya Allah.

Darjatku hanya seorang hamba. Tapi lagakku persis raja di singgahsana. Aku jalan mendabik dada, seperti dunia aku punya. Dosa noda aku kumpul tidak berhenti, seperti aku tidak takut akan namanya mati sedangkan Malaikat Izrail sering memerhatiku setiap hari. Sehingga ujian yang singgah buat aku terduduk dan aku sedar yang selama ini aku sudah tersasar jauh.

Tuhan ku, terima kasih atas ujian yang membuatkan aku belajar hakikat kehidupan. Terima Kasih atas sakit semalam yang membuatkan hari ini aku mampu untuk bangkit. Terima kasih kerana hantarkan luka, Kau juga penyembuh hati yang lara. Tanpa rahmatMu, aku tiada apa-apa dan aku bukan siapa-siapa. Tanpa magfirahMu, aku cuma insan hina dan tanpa hidayahMu aku akan terus leka. Terima Kasih ya Allah. Aku sedar, kau menguji bukan tanda Kau benci. Malah Kau tidak mahu diri ini terus tersasar dengan permainan dunia.

Sungguh, cahaya yang aku miliki hari ini lebih terang menerangi perjalanan panjangku selepas ini. Moga cahaya ini terus bersinar dalam hati sehingga jasad ini kembali pulang bertemu Ilahi. Cahaya hidayah yang selama ini aku cari. Andai aku tersungkur lagi, aku tahu pada siapa aku harus berpaut selepas ini.


No comments:

Post a Comment

Sesuatu Yang Paling Jauh Dari Kita adalah Masa Lalu, Bagaimanapun Kita, Apapun Kendaraan Kita, Kita tetap tidak akan bisa kembali ke masa lalu, Maka jagalah hari ini dan hari - harimu yang akan datang.

In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)