Monday, May 29, 2023

Teruskan Melangkah


Mulakan hari dengan rasa syukur. Syukur diberi peluang menghirup udara pagi dalam keadaan masih sihat. Di luar sana ramai yang lebih menderita dan sejuta kali sudi bertukar tempat dengan nikmat yang kita masih dapat. Si fulan cemburukan jawatan kita. Mungkin juga cemburukan apa yang kita ada. Si buta cemburukan mata kita. Si tuli cemburukan telinga kita. Si mati cemburukan nafas kita kerana mereka sedang mengharap-harap untuk kembali bernyawa, menebus segala kesilapan dan dosa-dosa. 

Jadi dalam pada kita menahan lelah dengan satu dua ujian dan kekurangan, jangan pernah lupa bersyukur dengan seribu satu nikmat yang masih Allah pinjamkan. Mengapa mesti berada di takuk yang sama sedangkan kita boleh terus mendaki dan menjadi insan yang lebih baik lagi? Be brave and move forward! Bantu kami ya Allah untuk sentiasa taat!


Monday, May 15, 2023

Apabila Ia Datang Bukan Pada Masanya


Entahlah, aku sendiri tak pasti bila rasa ini kembali muncul. Aku fikir ia cuma mentari senja yang berlabuh sebentar sebelum berlalu pergi. Sebenarnya, ia seperti singgahnya sebuah tikaman yang meninggalkan kesan.

Ya Rabbi,
Hanya ENGKAU yang tahu apa yang aku rasai, mengenggam sebuah hati yang tak pasti, seperti menggenggam sekuntum bunga yang mekar dan cantik. Tetapi rantingnya penuh berduri.

Apabila rasa ini datang bukan pada waktunya, aku anggap ia sebagai satu medan ujian. Aku tak akan pertikai mengapa rasa ini hadir pada waktu yang salah kerana aku tahu Tuhanku telah merencanakan sesuatu untuk hidupku.

Justeru biarkan waktu terus berjalan, biar untaian rasa ini aku titipkan melalui doa. Setidaknya aku tahu sejauh mana batasan untuk aku berharap.

Ya, ini tentang ujian hati. Tentang seseorang yang kau sayang tetapi kau tak mampu memilikinya. Tentang sebuah rasa yang kau simpan tetapi kau tak berdaya untuk meluahkannya. Bukan kerana kau seorang pengecut tetapi waktu sedikit terlewat. Tenang dan biarkan masing-masing jalani takdir masing-masing. Percayalah, Allah punya jawapan untuk semua ini!

Monday, May 8, 2023

Menyelusuri Takdir



 
Dunia ini satu perjalanan. Ada banyak sebab yang diperlukan untuk kita bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ada yang kita suka dan ada yang kita tak suka. Yang kita suka kita hadapi dengan rasa gembira. Manakala yang kita tak suka kita tetap hadapinya dan sebaiknya dijadikan pengajaran hidup.

Suka atau tak suka, semua terpaksa kita tempuhi juga. Kadang mampu berlari laju, kadang berjalanpun serasa payah atau kadang merangkak. Tapi yang pasti hidup takkan sentiasa sama dari hari ke hari. Kita harus terus bergerak. Ke mana? Ke destinasi yang telah ditetapkan untuk kita.

Lalu, sebenarnya kita harus bagaimana? Tak susah sebenarnya. Just kita ikuti saja!
Perkara yang belum berlaku, rancang sebaiknya. Perkara yang sudah berlaku, terima seadanya. Jangan lawan takdir Allah, Kita tak akan menang. Pujuk hati untuk redha.
Pujuk.

Friday, May 5, 2023

Kuasa Yang Terhijab


Aku yang engkau lihat kuat itu juga lemah, cuma saja aku biasanya enggan menyerah. Aku yang terlihat hebat ini juga banyak kali tersalah, cuma saja aku cepat-cepat bangkit setiap kali rebah. Aku sebenarnya sama seperti anda semua kerana takkan pernah wujud manusia luar biasa yang tidak pernah menitiskan air mata. Manusia sesempurna Rasulullah juga bahkan bersedih hingga wujudnya Tahun Dukacita.

Kecewa atas kehilangan, hampa saat terpaksa melepaskan, tersungkur disandung kegagalan, itu biasa kawan! Sungguh engkau takkan mampu mengawal keadaan, takkan pernah mampu engkau menundukkan ujian Tuhan!

Justeru andai satu waktu engkau terlihat aku tampak sangat kuat, sesungguhnya engkau tersalah lihat! Cuba alihkan pandangan. Ternyata yang kuat bukan aku. Tapi Tuhan, yang sentiasa setia menyalurkan ku kekuatan.


In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)