Wednesday, June 22, 2022

Allah Yang Maha Baik

 

Bilamana hatiku berpaling,

Palingkan semula ke tempat asal.

Bilamana imanku tergelincir,

Dakaplah aku seeratnya 

dan bisikkan bait-bait kekuatan.

Selalu juga terasa diri ini menumpang hadir,

tapi cepat-cepat kutepis.

Apabila ia singgah di corong fikiran, cepat-cepat kubuangkan.

Sampailah takdir memperlihatkan kematian, baru terbit satu kesalan.

Ya, aku akui yang aku takutkan kematian.

Kerana sekarang aku belum bersedia.

Kerana hanya aku yang tahu persediaanku.

Aku hanya mengharapkan rahmat dariMU.

Saatku imbas semula tingkahlaku di dunia, aku menggeleng.

Betapa banyak peringatan demi peringatan yang telah ENGKAU tinggalkan,

tetapi aku masih memilih dunia yang penuh dengan keseronokan.

Sebagaimana banyaknya nikmat yang ENGKAU berikan,

Sebanyak itulah larangan-Mu yang telah aku langgar.

Kadang-kadang aku rasa cintaku pada-Mu, palsu belaka

walau setiap waktu aku tetap mendekatimu. 

Tetapi jujur aku katakan aku amat mencintaiMu.

Aku tak lupa saat aku bersimpuh di hadapanMu entah ke berapa kali.

Menangis dan mengemis secebis simpati.

Berharap KAU pandanglah pada pendosa ini.

Tapi sayangnya hamparan sejadahku tidak lama.

Kolam air mata yang gugur 

dek mengenang dosa lampau kembali kering

Aku kembali ke haluan 

dan laluan yang salah.

Tersungkur, 

Engkau tetap hulurkan kekuatan.

Apabila aku tersasar KAU tetap mengingatkan

Ingin menyelamatkan.

Namun, aku masih buta kerana terlalu mencintai dunia.

Aku tak mahu terus tenggelam dalam dunia yang hina ini.

Tidak sanggup kubayangkan bagaimana keadaanku di kubur.

Apatah lagi mengenangkan azab yang menantiku di neraka kelak. 

Sesungguhnya, aku hambaMu yang lemah, ya Allah!

Jadi

Aku mohon berilah yang terbaik untuk ku

Bukan apa yang aku inginkan.

Aku redha.

Kerana aku tahu

ALLAH Maha BAIK.

Tuesday, June 21, 2022

Allah bantulah Aku...ku mohon

Apabila rasa benci terhadap diri kerana sangat lemah terhadap dugaan,
rasa bersalah dan ingin mengalah...
Hanya mengadu padaNya sajalah jalan penyelesaian
Memang jelas sudah itu salah kenapa harus dipaksakan
solat ku tidak betul kah kerana masih gagal mengawal nafsu serakah

Sedih, benci pada diri
Lantas mengadu padaNya mohon dibantu
buntu
Adukan semuanya kepada DIA apa yang sedang kau rasa
akan apa yang kau sedihkan
apa yang kau lemah
akan apa yang kau terluka dan yang kau lelah.

Diam.
Dan ketika itu yang akan kau temui adalah ketenangan dan kedamaian 
meskipun ketika itu masalah belum selesai
Tatkala semuanya kau adukan kepadaNya,
Menangis dihadapanNya
hati kau akan lega.
Separuh beban terasa hilang bersama tangisan dan pengaduan itu.

Allah
aku tak kuat
berilah jalan terbaik

Syukur sebab Allah masih sudi memandang ku,
Syukur daripada cubaan ini kita dekat dengan Allah
Masih mengadu padaNya
Itu tanda DIA sayang kita
Justeru balaslah kasih sayang Allah itu dengan kembali taat kepada perintahNya.

Tuesday, June 14, 2022

Bersangka Baiklah Dengan Allah



Hidup ini perlu kuat

Sebesar apapun ujian

harus percaya Allah sentiasa ada

dan sentiasa bersama kita.


Peristiwa pesawat gagal mendarat menyedarkan aku

Aku berfikir tentang apa yang barusan ku lalui.

Kemudian menerawang berfikir tentang apa yang telah kulalui selama ini.

Menerka apa yang sedang menungguku di depan itu nanti.

Cuba menganggar daya kudratku ini.

Cuba menyandar pada usia yang berbaki.


Rasa ingin menangis

Arhhh aku lelaki mana boleh menangis.

Hanya mampu kuratibkan lafzul jalalah. Allah ya Allah ...

Engkau tolonglah ya Allah!


Duhai diri

Kau tak perlu ada semua untuk bahagia.

Kau cuma perlu ada jiwa; yang memandang sekecil-kecil nikmat sebagai rahmat

yang menganggap segala musibah sebagai kafarah

yang redha dengan segala takdir Allah

Dan yang merindui syurga 

untuk mengecap kebahagiaan yang sempurna

Hakiki sempurna

Tuesday, June 7, 2022

Allah Dekat Sangat


Menangislah sepuas-puasnya.

Tetapi berjanjilah setelah itu kau bangun semula.

Hidup adalah pelajaran maka belajarlah! Teruslah belajar.

Belajar menjadi kuat apabila tersungkur

Belajar menjadi berani apabila langkah berkali-kali tersadung

Belajar untuk tidak mengalah apabila ujian memuntahkan perasaan.

Moga hari esok,

Saat fajar terbit,

kau bisa tersenyum semula

bukan kerana lenyapnya masalah yang sedang singgah

tetapi kerana kau telah mendapat sebuah kekuatan yang luar biasa

kerana

Allah bersama mu...


bak kata lagu Cinta

Inginnya aku berlari

mengejar bayangmu

rupa-rupanya Kau di depan mata

Ingin aku terbang tinggi

Teruskan mencari

Ku terlupa untuk menutup mata

Apa pun datang

Mudahkan sabar dan tenang

Minta senang kesulitan

Alahu Akbar...

Nota Buat Hati


Adakalanya kita rasa hidup kita sudah sempurna, kita ada segalanya tetapi dalam masa yang sama hati kita kosong dan kontang. Kita tak tahu apa yang kurang. Kita tak tahu dari mana datangnya rasa kosong itu.

Dan adakalanya kita diuji dengan sesuatu yang sangat kita senangi. Adakalanya kita berjaya mengatasinya dan adakalanya kita terbawa perasaan hati. Kita hilang titik langkah, kita buntu dalam melangkah. Berperang dengan diri. Hati yang satu mahukan reda ALLAH. Hati lainnya mahukan itu dan ini. Akhirnya kita tersungkur dan putus asa sampai tak tahu di mana perlu bermula.

Sampai kita tertanya sebenarnya apa yang kita mahukan dalam hidup ini? Allah dah penuhi segalanya. Allah dah mudah semuanya. Namun kita masih leka dan alpa. Apakah ujian ini tanda Allah sayang atau tanda Allah benci. Alahu...akhirnya kita putus harapan kerana hilang kekuatan untuk bangun semula.

Wahai diri, percayalah! Kita tidak keseorangan di dunia ini. Semua sedang merentasi takdir hidup masing-masing. Semua pernah berdepan dengan pelbagai peristiwa. Semua pernah terperangkap dalam perkara paling tidak disukai mahupun disukai. Semua juga pernah duduk dalam situasi yang paling dibenci. Masing-masing sedang berjuang dengan kehidupan. Bezanya cuma satu, jalan takdir yang telah tertulis. 

Ya ALLAH,

ada masa aku rasa kuat

ada masa aku rasa tewas

ada masa aku lumpuh untuk bermula

ada masa aku mampu bangkit dan berlari semula.

Ya ALLAH,

hadirkan kekuatan yang luar biasa

agar aku rasa gagah dan kuat

bagi bertemu dan berhadapan

dengan ombak dunia yang membadai.

Ya ALLAH,

Tahap keimananku sedang diukur daripada cebisan ujian ini

aku mohon rahmatMu,

Pintaku kepadaMu

Cantumkan cebisan hatiku ini serta dakaplah hatiku ini.

Agar ia sentiasa menjadi penawar cinta dan kasih sayangMU.


Monday, June 6, 2022

Duri Yang Tertinggal


Sedar atau tidak perjalanan hidup kita telah dirancang dengan baik olehNya,

Dialah sebaik-baik sutradara, dan kita sebagai pemainnya,

Kita bertemu ramai orang yang adakala amat menyenangkan kita dan adakala menjengkelkan kita,

Namun itulah kehidupan yang sebenarnya memberikan pengajaran pada kita,

Percayalah, hanya orang yang hebat dapat memaafkan kesalahan orang lain.

Kadangkala Allah sengaja menguji kita dengan sahabat sendiri untuk melihat tahap kesabaran diri. 

Maka bersabarlah. Allah suka hambanya yang bersabar.

Bertemu dengannya bukan ketidaksengajaan, rasa sayang juga bukan ketidaksengajaan tapi timbul atas  sebab takdir yang telah tertulis. 

Bagi semua perkara yang terjadi, tak semua yang boleh dilupuskan sekelip mata.

Justeru senyumlah.

Setiap manusia yang datang dalam hidup kita membawa pesan tersendiri.

Terpulang pada kita, bagaimana menyambut pesanan itu.

Semua manusia punya salah dan ketidaksengajaan,

lalu kupilih jalan untuk berdamai dan memaafkan,

Selamat tinggal kebencian dan dendam,

Duri yang tinggal telah pun aku tanggalkan.

Namun buat kamu...

Sekali Sayang

Seumur hidup Sayang.

In Sya Allah

Kembalilah Kepada Allah



Dear us, fahami dan yakini beberapa hal yang sangat penting ini, ia boleh mengubah diri dan seluruh hidup kita.

Allah sesekali tidak menzalimi atau membebani dengan ujian dan dugaan melebihi batas kemampuan kita. Kembalilah kepada Allah, patuhi perintah dan tinggalkan laranganNya, lalu berusaha dan berdoa kepadaNya. Dialah Ya "Alim Ya Hakim yang Maha Mengetahui dan Maha Bijakksana, akan memberikan jalan keluar dengan tepat dan sempurna.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya...(Al-Baqarah 2:286)

Sesungguhnya kita hanyalah hamba yang tiada daya dan upaya, kita lemah dengan kemampuan yang terbatas. Menyedari hakikat ini, maka kembalilah kepada Allah kerana Dialah Allah Ya Qawiz Ya Aziz Ya Matin, Yang Maha Kuat Maha Perkasa dan Maha Teguh. Berterusan merintih dengan kalimat zikir, Tiada Daya dan Upaya Melainkan Dengan Izin Allah Yang  Maha Tinggi Lagi Maha Agung.

Percayalah bahawa hati sangat rindukan saat kita kembali yakin sepenuhnya tanpa ragu pada Allah. Hikmah terbesar apabila kita mengadukan kelukaan, kesilapan, kesedihan, kepedihan dan kesakitan dengan penyerahan bulat-bulat kepadaNya akan memberikan ketenangan dan kelapangan kepada hati. Saat ini kita tidak lagi terikat dengan mengharapkan permohonan maaf, penghargaan atau balasan manusia, kerana kita sudah dapat apa yang kita perlu, iaitu tenang dan rasa cukup dengan Allah.

Cukuplah Allah bagiku, Allah yang Maha Agung. Tiada dalam hatiku selain Allah.

Dear Kita, 

Dunia adalah penjara bagi orang mukmin. Jangan jadikan ia syurga.

Neraka adalah penjara bagi orang kufur, kerana syurga mereka itu dunia.

Ramai orang merancang, berusaha dan berkorban untuk MASA DEPAN di DUNIA walaupun belum pasti HIDUP atau MATI.

Sedikit sekali orang merancang, berusaha dan berkorban untuk MASA DEPAN di AKHIRAT sedangkan itulah yang HAKIKI dan KEKAL ABADI.

Jika takdirnya kita MATI hari ini, bekal apakah yang banyak, PAHALA atau DOSA?

Seorang penyair mengatakan:

"Kamu menderhakai Allah tetapi kamu mendakwakan cinta kepadaNya. 

Demi Allah, ini adalah perkara yang pelik.

Jika cintamu benar pasti engkau mentaatiNya.

Kerana seorang kekasih akan patuh kepada yang dikasihinya.

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhainya. Kerana jika dia benar untuk mu maka Allah akan menghantar ia kepadamu samada di dunia atau dikehidupan mendatang.

Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku dan masuklah ke dalam Syurga ku.


Di dunia ini kita bertemu,

In Sya Allah

Di Syurga Allah kita bersatu.



In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)