Tuesday, September 20, 2022

Yakin Pada Pilihan Allah


Dear Aku,

Allah tak beri apa yang kau minta sebab tak mahu kau terluka. Usah merintih soal takdir. Usah bersedih tentang hal yang tak mampu kau fikir.

Bimbang. Sentiasa!

Demikianlah manusia yang Allah cipta dengan fitrah cenderung kepada berkeluh-kesah. Normal. Namun, fitrah ini bukanlah satu hal yang tidak boleh dikawal. Kita perlu percaya kepada aturan Allah. Perlu mencari apakah panduan-panduan yang pernah digariskan oleh Rasulullah.

Hanya ada satu cara. Bawa hati kita kepada Allah dan belajarlah untuk redha. Redha itu bukan sekadar perlu untuk sesuatu yang kita sudah tahu. Ia juga boleh dilakukan untuk sesuatu yang masih misteri. Bukankah itu rukun iman yang keenam. Ia sesuatu yang wajib kita imani. Percaya kepada qada dan qadar.

Semua perkara berkaitan jodoh, rezeki, amal, dan ajal telah ditentukan semasa kita berada di dalam kandungan ibu lagi. Maka tidak seharusnya tidak ada yang perlu dibimbangkan lagi kerana apa yang bakal terjadi telah pun pasti. Percaya saja kepada ketentuan Allah!

Demikian juga takdir yang ditetapkan ke atas kita. Semuanya teratur dan kita percaya bahawa apapun yang berlaku itulah yang sebaik-baiknya. Matahari tidak akan muncul di tengah malam biar sehebat manapun kita berdoa dan merayu-rayu kepada Allah untuk melihatnya. Ia hanya akan muncul sesudah subuh. Ya. Kita terpaksa menunggu. Tiada pilihan lain.

Nah. Hakikatnya.
Begitu juga dengan takdir hidup kita. Kita tidak boleh memaksa sesuatu berlaku sebelum masanya. Bertenanglah. Jangan terburu-buru. Dengan keyakinan bahawa semua perkara telah ditetapkan dan Allah maha baik dalam setiap perencanaan. 

Maka Tunggu!
Selain doa dan ikhtiar, ada sesuatu yang lebih diperlukan.
Sabar.

No comments:

Post a Comment

Sesuatu Yang Paling Jauh Dari Kita adalah Masa Lalu, Bagaimanapun Kita, Apapun Kendaraan Kita, Kita tetap tidak akan bisa kembali ke masa lalu, Maka jagalah hari ini dan hari - harimu yang akan datang.

In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)