Monday, July 17, 2023

Antara Dendam dan Sayang


Kau mungkin pernah memasuki dalam kehidupan seseorang. Kau cipta pelbagai memori indah hingga dia menjadi orang yang sangat bermakna dalam hidup. Sampai suatu tahap mungkin kau pernah takut akan kehilangannya dan kau tak sanggup untuk melepaskannya. Namun, apabila jalan bahagia yang sedang kau nikmati terputus, rasa suka dan sayang yang telah menumpang di hati itu bertukar menjadi benci dan dendam. Walaupun puas sudah kau cuba buang rasa sayang, ternyata ia masih belum padam!

Wahai diri, dengar! Kau bukan bodoh! Mungkin kau sedikit culas. Tergopoh-gapah dalam menyerahkan hati. Terlanjur dalam meletakkan sayang. Silap kau cuma satu. Kau beri hati pada orang yang salah. Kau tertipu pada layanan baiknya. Kau termakan akan tutur katanya. Tapi itu tidak bermakna kau perlu simpan semua kejahatannya bagi membungakan sebuah dendam! Percayalah dendam tak akan mendatangkan kebahagian, sekadar jadikan kau tidak keruan dan hilang ketenangan.

Biarkan takdir menapak dengan sempurna, biarkan kafarah laksanakan tugasnya, setiap perbuatan pasti ada balasannya. 

Berhenti mengeliru dan mencelarukan hati. Antara dendam dan sayang, kau sendiri tak pasti. Kenyataannya, kau sebenarnya tidak berdendam. Apa yang kau rasa itu sebenarnya yang bernama kecewa, sakit hati, tertipu, teraniaya dan tidak adil.

Sesungguhnya, rasa sayang itu hanya akan tersingkir apabila kau sudah tidak peduli akan kewujudannya lagi. Saat itu, titik hitam yang ditinggalkannya itu, perlahan-lahan terpadam! Pahatkan keyakinan dan kepercayaan bahawa suatu hari nanti, pasti bahagia akan berada dalam genggaman!

Hapuskan semua amarah yang menumpang, Padamkan rasa dendam yang menempel, jangan heret masa lalu ke dalam kehidupan baharumu kerana sedalam mana luka yang terlakar kau berhak untuk bahagia.

No comments:

Post a Comment

Sesuatu Yang Paling Jauh Dari Kita adalah Masa Lalu, Bagaimanapun Kita, Apapun Kendaraan Kita, Kita tetap tidak akan bisa kembali ke masa lalu, Maka jagalah hari ini dan hari - harimu yang akan datang.

In Sya Allah

 25 Mac 2024 (14 Ramadan)