Monday, July 14, 2025

Nota Serah Tugas

Hari ini sepatutnya hari terakhir aku di sini.
Tapi aku masih menunggu arahanmu. Sang Penguasa.

Aku berdiam diri ketika dipijak-pijak. Bukan kerana aku tidak tahu caranya untuk melawan.
Tapi kerana aku tidak mahu keruhkan lagi keadaan. Aku lebih memilih untuk bertarung dengan diriku sendiri berbanding bertarung dengan mereka. 

Aku tetap yakin perancangan Allah lah yang terbaik untuk ku.

Aku tidak mahu lagi berbalah kerana hal-hal yang tidak mendatangkan keuntungan.
Biarlah aku mengalah meskipun aku terlihat kalah. Yang penting aku tidak membuang masa untuk perkara yang salah.

Aku tak boleh menuntut hak ku. Itu jelas. Tapi aku sering dituntut menunaikan hak mereka. Aku bersuara meminta. Tapi tidak didengar. Dan apabila mereka menuntut hak mereka. Aku tunaikan saja. Perlukan aku menjelaskan. Rasanya tak perlu kerana mereka tak akan mendengar. Dan tak akan peduli apa pun alasan ku. Kerana di mata mereka. Aku tetap salah.

Walaupun aku tahu sabar itu ada limitasi. Dan aku sedar aku bukan malaikat juga bukan nabi. 
Tapi jika sabar pilihan yang aku ada maka aku harus bersabar. Entah sampai bila. Sakit. Ya Betul. Memang Sakit.

Sekuat ini aku berjuang agar tidak terlalu mengikuti ego dan hati untuk melepasi rasa yang membebani.
Aku sedang belajar untuk menahan diri untuk tidak membalas dan reda sahaja pada aturan mereka. Tapi aku yakin aku punya doa. Moga dijentik hati mereka untuk sadar.
 
Sabar manusia itu ada had. Jika dia memilih untuk bersabar seharusnya mereka jangan lagi mencabarnya. Dia tidak mahu luka sesiapa. Jangan memaksa dia melakukan hal yang dia tidak mahu.
Dia bersabar denganmu kerana tidak mahu kehilangan. Tapi ternyata sabarnya itu dianggap picisan padamu. Kamu tidak peduli, kamu tidak memandang sabarnya kerana kamu terlalu pentingkan diri sendiri. Jangan nanti jika dia pergi kerana mengalah, kamu pula menuduh dia yang bersalah sedangkan dia sudah terlalu lelah bertahan di tempat yang salah.

Aku lebih suka menyendiri kerana aku tahu ramai yang cuma berpura-pura peduli. Bukan semua akan munculkan diri tatkala aku memerlukan. Aku bukan tak tahu, selama ini aku banyak diam dan memerhati. Aku memerhati segalanya untuk menapis siapakah orang yang benar-benar layak untuk aku perjuangkan. 

Menyendiri bukan bermakna sepi dan sunyi. Aku lebih bahagia dengan jalanku sendiri tanpa perlu melibatkan sesiapa lagi.

Aku sudah berada ditahap hanya peduli tentang perkara yang penting. Jika perkara itu tidak ada urusan dalam hidupku aku tak sibuk memikirkannya.

Kemahuan ku cuma satu. Aku mahu kejayaan yang bersuara untuk ku. Terkadang yang paling berjaya itu adalah yang paling diam dan tidak menonjol. Yang berpura-pura berjaya itu adalah mereka yang beria menceritakan segalanya kepada dunia hanya untuk mendapat pengiktirafan manusia.

Padamu Ya Rabb.
Aku serahkan sisa hidupku pada mu.
Jika ia baik untuk ku maka segerakanlah
Jika ia tak baik untuk ku maka jauhkan ia

Untuk mu Aysar
aku mahu kau terbang lebih tinggi
dan seharusnya lebih kuat daripada aku
doa papa kepadamu tak akan putus
papa mahu yang terbaik buatmu dan
papa tahu kamu akan faham nantinya
Papa sayang kamu
 

14 Julai 2025

PPD KK (15 Ogos 2022 - 14 Julai 2025)

Nota Serah Tugas

Hari ini sepatutnya hari terakhir aku di sini. Tapi aku masih menunggu arahanmu. Sang Penguasa. Aku berdiam diri ketika dipijak-pijak. Bukan...